Wednesday, June 30, 2010

4 syor cegah seks bebas


Hari ni aku baca paper , ni idea untuk cegah seks bebas .

1.Benarkan polis periksa telefon bimbit remaja elak simpan bahan lucah

2.
Kuat kuasa peraturan halang remaja bawah 18 tahun keluar rumah selepas 12 malam

3.Sekat laman web lucah, kawal kafe siber dan penjualan perisian tidak bermoral
Percepat pelaksanaan pendidikan seks secara formal di sekolah.



KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur-unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang makin berleluasa.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat berpendapat tiada kompromi untuk membendung gejala itu, sebaliknya memperkenalkan pendidikan seks di sekolah, selain pemantapan institusi keluarga, agama serta menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang.

Mereka berpendapat penemuan terbaru dua bayi lelaki di Rawang dan Seremban kelmarin membuktikan kerajaan tidak perlu bertangguh untuk menjadikan pendidikan seks sebagai antara subjek jika tidak mahu gejala ini berterusan dan merosakkan institusi kekeluargaan.

Kerajaan juga diminta mengenal pasti kaedah paling efektif menyampaikan mesej mengenai cara mengamalkan seks selamat, isu seks luar nikah, akhlak dan kesan kepada masyarakat serta penyakit berkaitan seks kepada pelajar, ibu bapa dan guru sebagai pengetahuan asas kepada golongan sasar.
Presiden Orphan Care, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata subjek itu perlu diperkenalkan segera kerana remaja mempunyai sifat ingin tahu dan berani mencuba berdasarkan apa yang mereka tahu melalui pembacaan, tontonan video dan laman web interaktif serta perbualan rakan sebaya.

“Kita harus memberitahu pentingnya mereka mengelakkan seks sebelum nikah tetapi jika tetap mahu melakukannya, mereka perlu diberitahu mengenai seks selamat serta tindakan yang perlu diambil jika mengandung,” katanya semalam.

Selain itu, katanya, satu cara membendung masalah pembuangan bayi adalah memperkenalkan undang-undang yang melindungi individu yang menghantar bayi mereka kepada pusat penempatan atau ‘baby hatch’ dan tempat lain seperti yang diamalkan di beberapa negara lain, termasuk Amerika Syarikat.

“Buat masa ini, individu yang meninggalkan bayi mereka tanpa dokumen di tempat selamat dianggap melakukan jenayah yang menyebabkan lebih ramai membuang saja anak mereka,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sobri Mohamad Arsad, berkata pendidikan seks boleh dilaksanakan melalui sesi kokurikulum kerana negara masih belum memiliki guru berkemahiran dalam bidang berkenaan, di samping tidak mahu memberi bebanan tambahan kepada guru.

“Kita tidak menolak jika kerajaan mahu melaksanakan subjek ini, tetapi biarlah dilaksanakan apabila kita mempunyai guru terlatih dalam bidang pendidikan seks dan pada masa yang sama, kita mahu mengelakkan pelajar dan ibu bapa mendapat menerima mesej salah mengenai pembelajaran ini.” katanya.

Presiden Gabungan pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, mencadangkan kerajaan memperketatkan penguatkuasaan dan pemantauan lebih kerap di kafe siber dan kedai menjual alat telekomunikasi kerana kebanyakan bahan lucah mudah diperoleh di situ.

“Selain itu, kerajaan perlu menggubal undang-undang supaya remaja 18 tahun ke bawah tidak boleh keluar daripada kediaman selepas jam 12 malam.” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Maliki Mohd Rapiee, berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab memeriksa gajet milik anak mereka supaya tiada sebarang kandungan pornografi yang boleh menimbulkan kecenderungan untuk melakukan seks tanpa nikah.

“Orang ramai tidak boleh bergantung kepada agensi penguatkuasaan saja untuk melakukan pemeriksaan terhadap gajet yang jumlahnya banyak di negara ini.” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata walaupun pendidikan seks di sekolah bukan jawapan kepada usaha membendung gejala seks rambang dan pembuangan bayi, fungsi institusi kekeluargaan terutama ibu bapa dan penerapan agama adalah cara terbaik mengatasinya.

Beliau berpendapat subjek itu sebagai pelengkap kepada ilmu pendidikan seks bersama ilmu agama yang sepatutnya diajar ibu bapa di rumah bagi memperkasa diri remaja daripada terbabit dan terjebak dalam salah laku seks.

“Pendidikan seks tanpa penerapan nilai agama akan mengundang kesan negatif kepada pelajar kerana mereka lebih cenderung mencubanya apabila diberi pendedahan secara teknikal dalam kelas,” katanya

p;s -boleh pakai ke idea ni?

No comments: